JAAFAR BIN ABI TALIB , TANGANYA BERGANTI SAYAP DISYURGA


Di saat pengikut-pengikut Nabi Muhammad SAW yang memeluk Islam menerima pelbagai seksaan dan penindasan  yang amat pedih daripada musyrikin Quraisy Mekah, maka turunlah surah al-Kahfi sebagai jawapan yang antara lain satu isyarat daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya itu supaya berhijrah.
Rasulullah SAW telah mengetahui tentang kisah seorang raja Habsyah (Ethiopia) yang adil bernama Ashamah al-Najashi.  Tidak ada seorang pun yang dizalimi olehnya.  Lalu Baginda SAW telah menyuruh sebahagian umat Islam agar berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri.

Hijrah dari Mekah ke Habsyah
Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 kenabian.  Kumpulan ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan 4 orang wanita.  Mereka diketuai oleh `Uthman bin `Affan.  Ruqayyah, puteri Rasulullah SAW  turut bersama di dalam kumpulan ini. Di Habsyah, mereka mendapat tempat kediaman yang lebih baik.
Penindasan yang semakin berat oleh musyrikin Mekah telah menyebabkan Rasulullah SAW mencadangkan agar sebahagian lagi umat Islam berhijrah ke Habsyah  seperti kumpulan pertama.
Hijrah kali ini lebih sukar kerana musyrikin Mekah telah bersiap sedia lebih awal untuk menggagalkannya.
Namun, dengan izin Allah Taala, mereka dapat juga meloloskan diri berhijrah ke Habsyah.  Kumpulan ke-2 ini lebih ramai, iaitu seramai 83 orang lelaki dan 28 orang wanita. Rombongan kedua ini diketuai oleh  Ja’afar bin Abi Talib.
Ja’afar bin Abi Talib yang juga dikenali dengan jolokan Ja’afar al-Tayyar adalah sepupu Nabi Muhammad SAW. Beliau dibesarkan oleh bapa saudaranya, Abbas bin Abdul Mutalib, kerana ayahnya yang miskin dan harus menanggung keluarga besar.
Dari sudut akhlak, tubuh badan dan rupa, Ja’afar bin Abi Talib adalah yang paling mirip kepada
Nabi Muhammad SAW berbanding dengan sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang lain.
Nabi Muhammad memanggil Ja’afar, sebagai “Bapa orang-orang Miskin”, kerana beliau selalu menolong dan membantu orang miskin dengan semua wang yang dimiliki.

Hijrah
Ja’afar bin Abi Talib termasuk golongan awal memeluk Islam. Semasa di Madinah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan beliau dengan Muaz bin Jabal RA. Ja’afar bin Abi Thalib telah bernikah dengan Asma binti Umais.
Sebaik sahaja rombongan ini tiba di Habsyah, mereka telah bergabung dengan kaum Muslimin dari Yaman seramai 50 orang di bawah pimpinan Abu Musa al-Asy dan Ja’afar bin Abi Talib telah diangkat sebagai ketua kumpulan.
Melihatkan kepada keadaan di Habsyah ini, dua orang wakil dari kaum Quraisy telah dihantar oleh pembesar mereka untuk berjumpa dengan Raja Habsyah yang bernama Raja Najashi, dengan harapan untuk mengembalikan semula rombongan dari Mekah ke Mekah.
Dua wakil Quraisy itu adalah Amru bin al-As dan Abdullah  bin Abi Rabi’ah. Kedua-duanya diutuskan kepada Raja Najjasi dengan membawa hadiah untuk dipersembahkan.
Sebaik bersua dengan Raja Najashi, mereka berkata;
“ Sesungguhnya satu rombongan kaum kerabat kami telah meninggalkan Mekah dan lari ke negeri tuanku. Mereka lari kerana tidak suka kepada kami dan agama kami, bahkan mereka tidak mengikut agama tuanku. Sesungguhnya pemimpin Quraisy mengutuskan kami untuk menjumpai tuanku, dan supaya tuanku mengembalikan mereka ke Mekah.”
Lalu, Ja’afar bin Abi Talib selaku ketua kumpulan kaum Muslimin tadi datang bersama beberapa orang kaum Muhajirin mengadap Raja Habsyah tanpa memberikan rukuk hormat sebagaimana adat di istana, lalu Raja Habsyah pun bertanya;
“ Mengapa kamu tidak hormat seperti adat yang biasanya dalam istana ini?”
Lalu, Ja’afar bin Abu Talib pun menjawab dengan rendah dirinya;
“ Kami telah memberikan penghormatan kepadamu dengan cara penghormatan ahli syurga. Kami memang tidak rukuk kecuali kepada Allah.”
Raja bertanya:
“Agama apa yang kamu anuti itu sehingga kamu rela meninggalkan kaum kamu tidak mahu masuk agamaku dan tidak agama-agama lain?”
Ja’afar menjawab;
“Wahai raja! Kami ini adalah kaum jahiliah, penyembah berhala, memakan bangkai, kuat menindas orang yang daif. Kemudian Allah mengutuskan seorang rasul kepada kami, ia diutus dari kalangan kami sendiri dan kami sudah tahu tentang kejujurannya, pemaaf dan amanahnya. Beliau mengajak kami meng-Esa-kan Allah serta meninggalkan perbuatan menyembah berhala.”
“Oleh kerana kami mengikutnya, maka kami diseksa dan ditindas dengan tujuan supaya kami kembali ke zaman jahiliah. Disebabkan hebatnya penindasan dan penekanan mereka, ini maka kami lari ke negeri tuan. Kami memilih negeri tuan kerana ingin dekat dengan tuan. Kami harap tuan tidak menganiaya kami.”
Begitulah kata-kata yang terkeluar dari mulut Ja’afar bin Abi Talib.
Apabila merasakan misi mereka mula menampakkan kegagalan, maka Amru al-As mencelah dan berkata;
“Wahai paduka baginda, sesungguhnya mereka menuduh Isa (Nabi) dengan perkataan-perkataan yang tidak baik.”
Sebagai seorang raja dan juga pendeta agama Nasrani. Raja Najashi telah menguji sekali lagi pengetahuan Ja’afar bin Abi Talib tentang Nabi Isa AS.
Tanpa sebarang ragu-ragu Ja’afar pun membacakan beberapa ayat dari permulaan surah al-Maryam. Sebaik Raja itu mendengar bacaan surah al-Maryam dari Ja’afar, lalu beliau menangis sambil berkata;
“Sesungguhnya ini dan yang dibawa oleh Isa AS adalah berasal dari satu sumber.”
Raja Najashi akhirnya memeluk Islam, dan diikuti dengan ramai rakyat di negerinya.
Kemudian, Raja Najashi mengisytiharkan akan melindungi orang-orang Mukmin yang berhijrah serta memulangkan hadiah-hadiah yang dibawa kepada dua orang utusan Quraisy. Maka wakil Quraisy itu akhirnya terpaksa pulang dengan kehampaan.
Ja'far bin Abu Talib dan isteri tinggal dengan aman dan tenang dalam perlindungan Najasyi yang ramah tamah itu selama sepuluh tahun.

Pada tahun ke-7 Hijrah, kedua-dua suami isteri itu meninggalkan Habasyah dan hijrah ke Yathrib (Madinah). Kebetulan Rasulullah SAW baru saja pulang dari Khaibar. Beliau sangat gembira bertemu dengan Ja'far sehingga kerana kegembiraannya beliau berkata, "Aku tidak tahu mana yang menyebabkan aku gembira, apakah kerana kemenangan di Khaibar atau kerana kedatangan Ja'far?"

Begitu pula kaum Muslimin umumnya, terlebih fakir miskin, mereka juga bergembira dengan kedatangan Ja'far. Ia adalah seorang yang sangat penyantun dan banyak membela golongan dhuafa, sehingga digelar Abil Masakin (bapak orang-orang miskin).

Abu Hurairah bercerita tentang Ja'far, "Orang yang paling baik kepada kami (golongan orang-orang miskin) ialah Ja'far bin Abu Talib. Dia sering mengajak kami makan di rumahnya, lalu kami makan apa yang ada. Bila makanannya sudah habis, diberikannya kepada kami pancinya, lalu kami habiskan sampai dengan kerak-keraknya. "

Belum begitu lama Ja'far tinggal di Madinah, pada awal tahun ke-8 Hijrah, Rasululalh SAW menyiapkan pasukan tentera untuk memerangi tentera Rom di Muktah. Beliau mengangkat Zaid bin Haritsah menjadi komandan pasukan.

Rasulullah berpesan, "Jika Zaid tewas atau cedera, komander digantikan Ja'far bin Abi Talib. Seandainya Ja'far tewas atau cedera pula, dia digantikan Abdullah bin Rawahah. Dan apabila Abdullah bin Rawahah cedera atau gugur pula, hendaklah kaum muslmin memilih pemimpin / komander di antara mereka. "

Setelah pasukan sampai di Muktah, iaitu sebuah bandar berhampiran Syam dalam wilayah Jordan, mereka mendapati tentera Rom telah siap menyambut dengan kekuatan 100.000 pasukan inti yang terlatih, berpengalaman, dan membawa persenjataan lengkap. Pasukan mereka juga terdiri daripada 100.000 milisi Nasrani Arab dari kabilah-kabilah Lakham, Judzam, Qudha'ah, dan lain-lain. Sementara, tentera kaum Muslimin yang dipimpin Zaid bin Harithah hanya berkekuatan 3.000 tentera.

Begitu kedua-dua pasukan yang tidak seimbang itu berhadap-hadapanan, pertempuran akan berkobar dengan hebatnya. Zaid bin Harithah gugur sebagai syahid ketika dia dan tenteranya sedang maju menyerbu ke tengah-tengah musuh.

Melihat Zaid jatuh, Ja'far segera melompat dari punggung kudanya, kemudian secepat kilat disambarnya bendera komando Rasulullah dari tangan Zaid, lalu diacungkan tinggi-tinggi sebagai tanda pimpinan kini beralih kepadanya. Dia maju ke tengah-tengah barisan musuh sambil mengibaskan pedang kiri dan kanan memukul rubuh setiap musuh yang mendekat kepadanya. Akhirnya musuh dapat mengepung dan mengeroyoknya.

Ja'far berputar-putar mengayunkan pedang di tengah-tengah musuh yang mengepungnya. Dia mengamuk menyerang musuh ke kanan dan kiri dengan hebat. Sedang bertempur, seorang musuh sempat melibas tangan kanannya. Putuslah tangan Jaafar. Dia berusaha memegang bendera dengan tangan yang satu lagi. Ketika itu, musuh mengambil kesempatan dengan melibas tangan kirinya pula. Jaafar tidak memberi kesempatan untuk bendera Islam jatuh ke bumi. Baginya, bendera itu adalah lambang kehormatan dan kemenangan tentera Islam. Dengan sedaya upaya, dia menggigit batang bendera itu sambil mengepit dengan kepala dan bahunya yang telah kudung. Darah yang keluar dari pangkal bahunya yang sudah kudung itu tidak terkira banyaknya.
Dalam keadaan cedera parah sebegitu, Jaafar masih tidak berputus asa. Dia tidak mengizinkan bendera Islam terjatuh ke tangan musuh. Ketika bertarung dengan kesakitan, datanglah seorang musuh dari belakang lalu menetak Jaafar sehingga tubuhnya terbelah dua. Sesungguhnya janji Allah telah datang. Syahidlah Jaafar sementara rohnya berterbangan mencari syurga abadi.

Abdullah bin Umar ra. menceritakan, “Ketika kami mengangkat Jaafar keluar dari medan pertempuran. Kami dapat mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau.

Secepat kilat Abdullah bin Rawahah merebut bendera komando dari komando Ja'far bin Abu Thalib. Pimpinan kini berada di tangan Abdullah bin Rawahah, sehingga akhirnya dia gugur pula sebagai syahid, menyusul kedua sahabatnya yang telah syahid lebih dahulu.

Rasulullah SAW sangat sedih mendapat berita ketiga panglimanya gugur di medan tempur. Beliau pergi ke rumah Ja'far, didapatinya Asma ', isteri Ja'far, sedang bersiap-siap menunggu kedatangan suaminya. Dia mengacau adunan roti, merawat anak-anak, memandikan dan memakaikan baju mereka yang bersih.

Asma 'bercerita, "Ketika Rasulullah mengunjungi kami, terlihat wajah beliau diselubungi kabut sedih. Hatiku cemas, tetapi aku tidak berani menanyakan apa yang terjadi, kerana aku takut mendengar berita buruk. Beliau memberi salam dan bertanya anak-anak kami. Beliau bertanya mana anak -anak Ja'far, suruh mereka ke sini. "

Asma 'kemudian memanggil mereka semua dan disuruhnya menemui Rasulullah SAW. Anak-anak Ja'far berlompatan kegirangan mengetahui kedatangan beliau. Mereka berebutan untuk bersalaman kepada Rasulullah. Beliau menengkurapkan mukanya kepada anak-anak sambil menciumi mereka penuh haru. Air mata beliau mengalir membasahi pipi mereka.

Asma 'bertanya, "Ya Rasulullah, demi Allah, mengapa anda menangis? Apa yang terjadi dengan Ja'far dan kedua-dua sahabatnya?"

Beliau menjawab, "Ya, mereka telah syahid hari ini."

Mendengar jawapan beliau, maka reduplah senyum kegirangan di wajah anak-anak, apalagi setelah mendengar ibu mereka menangis tersedu-sedu. Mereka diam terpaku di tempat masing-masing, seolah-olah seekor burung sedang bertengger di kepala mereka.

Rasulullah berdoa sambil menyeka air matanya, "Ya Allah, gantilah Ja'far bagi anak-anaknya ... Ya Allah, gantilah Ja'far bagi isterinya."

Kemudian beliau bersabda, "Aku melihat, sungguh Ja'far berada di syurga. Dia mempunyai dua sayap berlumuran darah dan bertanda di kakinya."


Begitulah kisah bagaimana bersungguhnya para sahabat mempertahankan islam, betul cakap, waktu first aliff bca kisah ni dari karangan sebuah novel islam, aliff Menangis, terharu dengan kisah pengorbanan beliau. Kalau ada salah dan silap dimana mana, bolehlA emailkan di haiqal_uniten@yahoo.com =) kisah ni hsil potongan bnyak kisah dari pelbagai sumber, huhuhu... tq for reading..

Semoga kita dapat manfaat dari entri kalini, wallahualam

~a thought a day keep stupidity away ♡~

No comments:

Post a Comment